20 Oktober 2009

Selamat Menunaikan Ibadah Haji 1430 H



Miqat Zamani untuk ibadah haji tahun 1430 H sudah bermula. Diucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada mereka yang bakal melaksanakannya. Semoga beroleh haji yang mabrur, ibadah yang diterima dan keampunan dari dosa.


Sekiranya punya kesempatan, klik pautan ini: http://zaid-alkhair.blogspot.com/2007/11/resolusi-padang-mina.html



Abu Ammar al-Eidrus

Dia Yang Menjual Agamanya




Sekadar berkongsi buku kecil ini bersama anda. Mudah-mudahan ada manfaatnya untuk kebaikan bersama.


Klik pautan ini untuk muat turun: http://www.4shared.com/file/132736061/841d203d/Dia_Yang_Menjual_Agamanya.html



Abu Ammar al-Eidrus

19 September 2009

Salam Aidilfitri 1430 H



Salam Lebaran, Salam Aidilfitri. Semoga senantiasa kita dalam kebaikan sepanjang masa. Maaf zahir dan batin.



Abu Ammar al-Eidrus

15 September 2009

Kecemerlangan Sistem Pendidikan Islam

Kecemerlangan Sistem Pendidikan Islam:

Belajar Dari Kejayaan Madrasah Nizamiyyah

(Suatu Cetusan)

Oleh: Asyraf Isyraqi bin Jamil



Kesedaran umat Islam terhadap kepentingan ilmu dan pendidikan memperlihatkan pertumbuhan institusi-institusi pendidikan di dunia Islam.[1] Kemunculan ini telah menggerakkan usaha ke arah penginstitusian ilmu[2] yang menjadi salah satu mercu tanda kecemerlangan intelektual umat Islam.[3] Ia sebenarnya merupakan satu usahasama ke arah merealisasikan tujuan pendidikan Islam itu sendiri iaitu pembinaan individu dan pembentukan masyarakat muslim yang baik. Hasilnya institusi-institusi seumpama pusat pembelajaran awal (kuttab), masjid, madrasah, pusat penyelidikan, perpustakaan, halakah-halakah umum serta wacana keilmuan dan kesusasteraan telah disediakan kepada para penuntut ilmu untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan bahkan sebahagiannya turut membekalkan keperluan-keperluan seumpama makanan, tempat tinggal, khidmat kesihatan, biasiswa dan sebagainya demi memastikan kehidupan yang baik dan keselesaan untuk memberikan tumpuan dalam proses menuntut ilmu.


Perkembangan ini mencapai kemuncak kegemilangan dengan kehadiran Madrasah Nizamiyyah[4] sebagai institusi madrasah yang pertama dibangunkan dalam dunia Islam pada tahun 459 H.[5] Kemunculannya telah merancakkan pertumbuhan institusi-institusi madrasah selepas itu yang berperanan untuk mempelbagai dan memberi wadah kepada kepesatan perkembangan intelektual dengan menyediakan pendidikan yang dinamik kepada umat Islam.[6] Namun kemasyhuran yang ditempa tidak sekadar kerana ia adalah institusi madrasah yang pertama dibangunkan akan tetapi Madrasah Nizamiyyah sebenarnya telah melakar sumbangan yang begitu bermakna sebagai institusi yang merintis sistem pendidikan yang hebat sehingga menjadi model kepada pembangunan institusi-institusi seterusnya. Kerana itu Madrasah Nizamiyyah mampu dinobatkan sebagai institusi pendidikan bersistem yang pertama dalam dunia pendidikan umat Islam.[7]


Keteraturan dan kerapian sistem pendidikan yang dirintis semacam membayangkan kepada sebuah pentadbiran yang cekap dan semestinya biasan dari pemikiran yang cemerlang. Dalam konteks ilmu pendidikan, proses pengendalian institusi-institusi pendidikan secara menyeluruh ke arah mencapai matlamat dan tujuan pendidikan yang telah ditentukan dikenali sebagai pentadbiran pendidikan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di samping memaksimumkan proses tersebut berdasarkan sumber-sumber yang ada dalam sistem pendidikan.[8] Bahkan kepentingannya terserlah dalam membentuk sebuah sistem pendidikan yang cemerlang, yang dapat memimpin ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang baik dan harmoni, selain membantu kepada pembinaan sebuah bangsa dan penyusunan perjalanan pendidikannya agar dapat mencapai matlamat masa hadapan yang telah ditetapkan.[9]


Abu ‘Ali al-Hasan ibn ‘Ali ibn Ishaq al-Tusi atau Nizam al-Mulk (408 – 485 H) merupakan peribadi yang bertanggungjawab kepada penubuhan dan pentadbiran Madrasah Nizamiyyah.[10] Sebagai Perdana Menteri kepada dua pemerintah Kesultanan Saljuq, Alb Arsalan dan anaknya Malik Shah, beliau bukan sekadar membuktikan kemampuan mentadbir empayar dengan cemerlang, bahkan mengambil peluang tersebut untuk memberi sumbangan kepada dunia keilmuan dan pendidikan umat Islam.[11] Ditambah dengan jatidiri yang kukuh sebagai muslim dan kecintaan yang mendalam terhadap ilmu,[12] beliau bukan sekadar membangunkan Madrasah Nizamiyyah bahkan turut membangunkan sebuah sistem pendidikan yang hebat melalui institusi tersebut. Sumbangan yang dicurahkan ini telah meletakkan beliau di persada kemasyhuran dalam lembaran sejarah Islam.[13]


Sistem pendidikan yang melatari Madrasah Nizamiyyah merupakan hasil cetusan pemikiran Nizam al-Mulk.[14] Ia merangkumi pengendalian secara rasmi dan sistematik beberapa aspek pentadbiran pendidikan seumpama asas dan tujuan, tempat dan pembinaan bangunan, pemilihan tenaga pengajar, sumber kewangan untuk urusan material, gaji dan biasiswa, struktur pentadbir, tenaga pengajar dan para pelajar, kurikulum, bahan dan pedagogi pengajaran-pembelajaran, penerimaan, graduasi dan pengijazahan, penyeliaan dan bentuk serta sifat kepemimpinan pendidikan.[15] Kehebatan sistem tersebut telah melonjakkan reputasi Madrasah Nizamiyyah pada ketika itu sehingga mengundang keinginan sebahagian ilmuwan Islam untuk menduduki posisi tenaga pengajar di situ.[16] Warisan ilmiah ini akhirnya menjadi model rujukan bukan sekadar kepada dunia Islam bahkan merentas ke dunia Barat dengan perkembangan yang memberansangkan dalam pertumbuhan institusi-institusi pendidikan seterusnya.[17]


Madrasah Nizamiyyah adalah satu pembaharuan yang dicetuskan oleh Nizam al-Mulk dalam bidang pendidikan. Memahami keperluan untuk memenuhi perkembangan intelektual dan perubahan kehidupan, beliau mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pembaharuan tersebut agar bergerak seiring dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku di samping bersifat praktikal dalam penyelesaian isu dan permasalahan yang melanda.[18] Namun dimensi pembaharuan ini tidak dibongkar secara serius oleh kajian-kajian sarjana pendidikan Islam bahkan ilmuwan dan sejarawan era pertengahan Islam sendiri tidak memberi perhatian kepada aspek pendidikan Islam sepertimana perhatian yang diberikan kepada aspek-aspek yang lain pada era tersebut.[19] Keadaan ini menjadikan ia masih dibayangi kekaburan yang memerlukan perhatian dan penjelasan sewajarnya. Justeru adalah suatu keperluan untuk menganalisis pemikiran Nizam al-Mulk dalam pentadbiran Madrasah Nizamiyyah ke arah memperjelaskan pentadbiran pendidikan yang telah diamalkan sehingga menghasilkan sebuah sistem pendidikan yang hebat sekaligus memperakui sumbangan beliau terhadap dunia keilmuan dan pendidikan umat Islam.





[1] Lihat sebagai contoh penulisan-penulisan berkenaan institusi-institusi pendidikan Islam dalam Ahmad Syalabi (1960), Tarikh al-Tarbiyah al-Islamiyyah, c. 2, al-Qahirah: Maktabah al-Anjlu al-Misriyyah; ‘Imad ‘Abd al-Salam Ra’uf (1966), Madaris Baghdad fi al-‘Asr al-‘Abbasi, Baghdad: Matba‘ah Dar al-Basri; Hasan Muhammad Hasan & Nadiyah Jamal al-Din (1984), Madaris al-Tarbiyah fi al-Hadarah al-Islamiyyah, al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi; Sa‘id Ismail ‘Ali (1986), Ma‘ahid al-Tarbiyah al-Islamiyyah, al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi; Basysyar ‘Awwad Ma‘ruf (1989), “Mu’assasat al-Ta‘lim fi al-‘Iraq bayna al-Qarnayn al-Khamis wa al-Sabi‘ al-Hijriyyayn”, dalam al-Tarbiyah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah : al-Mu’assasat wa al-Mumarasat, bil. 2, ‘Amman: al-Majma‘ al-Malaki li Buhuth al-Hadarah al-Islamiyyah; ‘Ali ‘Ali Muhammad al-Juhani (1425 H), al-Maktabat al-Islamiyyah wa Atharuha fi al-Ta‘lim munzu Nasy’atuha wa Ta’sisuha wa hatta al-Qarn al-Sabi‘ al-Hijri, al-Madinah al-Munawwarah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam; George Makdisi (1991), “Muslim Institution of Learning in 11th Century Baghdad”, dalam George Makdisi ed., Religion, Law, and Learning in Classical Islam, Hampshire, Eng.: Variorum; dan Nurazmallail Marni & Zulkiflee Haron (2008), Institusi Pengajian Syariah dan Sains : Era Kegemilangan Tamadun Islam, Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

[2] Institusi boleh didefinisikan sebagai gabungan konsep dan struktur yang menghimpunkan pola aktiviti sosial yang menjadi keperluan manusia dengan pola organisasi yang berperanan melaksanakan keperluan-keperluan manusia dalam komunitinya. Manakala penginstitusian ilmu adalah penyelenggaraan aktiviti-aktiviti intelektual dalam bentuk usaha mengumpul, menyusun dan menyebarkan ilmu yang dilaksanakan oleh lembaga-lembaga atau institusi-institusi khusus yang terjadi hasil dari pengarahan ilmu oleh kelompok komuniti yang memiliki kecenderungan dan minat yang besar terhadap kegiatan ilmu pengetahuan. Lihat: Fadzlullah Shuib (1995), Kecemerlangan Ilmu Dalam Sejarah dan Tamadun Islam : Penginstitusian Ilmu di Zaman Abbasiyah 750-1258 M, Kuala Lumpur: Pustaka Warisan, h. 29 & 31.

[3] Fadzlullah Shuib melalui kajian peringkat sarjana falsafah beliau memperincikan faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan penginstitusian ilmu di zaman Abbasiyah sebagai era keemasan keilmuan Islam. Lihat: Fadzlullah Shuib (1995), op.cit., h. 40-94.

[4] Antara penulisan yang membicarakan secara khusus berkenaan Madrasah Nizamiyyah dihasilkan oleh Husam al-Din al-Samirrai (1989), “al-Madrasah ma’a al-Tarkiz ‘Ala al-Nizamiyyat”, dalam al-Tarbiyah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah : al-Mu’assasat wa al-Mumarasat, bil. 2, ‘Amman: al-Majma‘ al-Malaki li Buhuth al-Hadarah al-Islamiyyah; Abdul Mukti (2007), Konstruksi Pendidikan Islam : Belajar Dari Kejayaan Madrasah Nizhamiyah Baghdad Dinasti Saljuq, Bandung: Citapustaka Media; dan Muhammad Asad Talas (1939), L'enseignement Chez Les Arabes : La Madrasa Nizamiyya Et Son Histoire, Paris: P. Guenther.

[5] Rangkaian Madrasah Nizamiyyah telah dibangunkan di beberapa daerah dalam Pemerintahan Kesultanan Saljuq. Madrasah Nizamiyyah Baghdad merupakan yang pertama dibangunkan iaitu pada tahun 457 H sebagai permulaan pembinaan dan siap dilancarkan untuk diguna pada tahun 459 H.

[6] Disebabkan itu Ahmad Syalabi menyatakan bahawa tahun 459 H harus dicatat sebagai tahun yang penting dalam sejarah pendidikan Islam kerana semenjak tahun itu institusi-institusi madrasah mula berkembang di dunia Islam. Lihat: Ahmad Syalabi (1960), op.cit., h. 33.

[7] Lihat: Muhammad Afandi Kurd ‘Ali (1902), “Nizam al-Mulk wa al-Madrasah al-Nizamiyyah”, al-Muqtataf, jil. 27, bil. 7, Julai 1902, h. 632; Husam al-Din al-Samirrai (1989), op.cit., h. 348; George Makdisi (1991), op.cit., bahagian VIII, h. 1; ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1999), Nizam al-Mulk: al-Hasan ibn ‘Ali ibn Ishaq al-Tusi, 408-485 H, Kabir al-Wuzara’ fi al-Ummah al-Islamiyyah : Dirasah Tarikhiyyah fi Siratihi wa Ahammi A‘malihi khilala Istizarihi, al-Qahirah: al-Dar al-Misriyyah al-Lubnaniyyah, h. 355; M. S. Khan (2002), “The Saljuq Vizier Nizam al-Mulk and His Siyasat Nama”, Muslim Education Quarterly, jil. 19, bil. 2, 2002, h. 52.

[8] Lihat: Ibrahim ‘Ismat Mutawi‘ (1982), al-Usul al-Idariyyah li al-Tarbiyah, Jiddah: Dar Syuruq, h. 41; Roald F. Campbell et al. (1983), Introduction to Educational Administration, Boston: Allyn and Bacon, h. 102; Al. Ramaiah (1999), Kepimpinan Pendidikan : Cabaran Masa Kini, Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd., h. 37.

[9] Ali Mohammad Jubran Saleh (2002), Educational Administration : An Islamic Perspective, Kuala Lumpur: A.S. Noordeen, h. 1.

[10] Untuk membaca lebih terperinci berkenaan kehidupan, pentadbiran, sumbangan dan warisan Nizam al-Mulk, lihat: ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1999), op.cit..

[11] Nizam al-Mulk berketurunan Parsi memiliki kemampuan mentadbir dengan cemerlang. Buktinya empayar Parsi dan Babylon menikmati kestabilan yang kukuh sepanjang di bawah pentadbiran beliau. Namun beliau lebih utama dilihat sebagai pengasas institusi madrasah dan pejuang pendidikan. Bahkan kedudukannya yang selesa sebagai Perdana Menteri membolehkan beliau menumpukan kepada usaha pentadbiran empayar termasuk dalam kegiatan keilmuan dan pendidikan. Lihat: Khalil A. Totah (1926), op.cit., h. 19; Carl Brockelmann (1982), History of The Islamic Peoples, Joel Carmichael & Moshe Perlmann (terjemahan), London & Henley: Routledge & Kegan Paul, h. 173; Fadzlullah Shuib (1995), op.cit., h. 69.

[12] Berkenaan jatidiri muslim Nizam al-Mulk ada dirumuskan oleh Husam al-Din al-Samirrai. Lihat: Husam al-Din al-Samirrai (1989), op.cit., h. 343. ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah telah menyenaraikan nama-nama guru dan pelajar Nizam al-Mulk serta kisah-kisah yang memberi gambaran kesungguhan beliau di dalam menuntut dan menyampaikan ilmu terutama ilmu hadith. Lihat: ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1959), “Amali Nizam al-Mulk al-Wazir al-Saljuqi fi al-Hadith”, Majallah Ma‘had al-Makhtutat al-‘Arabiyyah, jil. 5, bil. 2, November 1959, h. 351-355.

[13] Lihat: Haroon Khan Sherwani (1934), “Some Precursors of Nizamu’l-Mulk Tusi”, Islamic Culture, jil. VIII, bil. 1, 1934, h. 15; S. Rizwan Ali Rizvi (1978), Nizam al-Mulk Tusi : His Contribution to Statecraft, Political Theory and The Art of Government, Lahore: Sh. Muhammad Ashraf, h. 73; Sa‘id Ismail ‘Ali (1986), op.cit., h. 354.

[14] Sebahagian sejarawan menyatakan bahawa antara sebab Madrasah Nizamiyyah dinisbahkan kepada Nizam al-Mulk adalah kerana pembaharuan yang dicetuskan melalui institusi tersebut. Lihat: ‘Imad ‘Abd al-Salam Ra’uf (1966), op.cit., h. 15. Ahmad Syalabi turut memperincikan lebih lanjut berkenaan sebab-sebab penisbahan Madrasah Nizamiyyah kepada Nizam al-Mulk. Lihat: Ahmad Syalabi (1960), op.cit., h. 308-313.

[15] Perincian ini boleh diringkaskan kepada empat elemen penting iaitu polisi pendidikan, perancangan pendidikan, pengurusan pendidikan dan kepemimpinan pendidikan yang merupakan elemen-elemen utama dalam bidang pentadbiran pendidikan. Untuk meneliti lebih lanjut perincian Madrasah Nizamiyyah, lihat: Muhammad Afandi Kurd ‘Ali (1902), op.cit., h. 632-635; Husam al-Din al-Samirrai (1989), op.cit., h. 343-357; George Makdisi (1991), op.cit., bahagian VIII, h. 31-44; ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1999), op.cit., h. 353-405; Abdul Mukti (2007), op.cit., h. 175-260.

[16] ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1999), op.cit., h. 355.

[17] Lihat: Ahmad Syalabi (1960), op.cit., h. 33; Khalil A. Totah (1926), op.cit., h. 101; ‘Imad ‘Abd al-Salam Ra’uf (1966), op.cit., h. 13; ‘Abbas Mahjub Mahmud (1987), op.cit., h. 82; George Makdisi (1991), op.cit., bahagian VIII, h. 1-2; M. S. Khan (2002), op.cit., h. 52.

[18] Hasil dari pembaharuan ini Nizam al-Mulk boleh dilihat sebagai perintis kepada beberapa dasar pendidikan seumpama dasar pendidikan integrasi, dasar pendidikan percuma, dasar pendidikan awam, dasar sentralisasi pendidikan dan dasar pendidikan sebagai wadah kestabilan politik dan negara. Lihat: Khalil A. Totah (1926), op.cit., h. 21; ‘Imad ‘Abd al-Salam Ra’uf (1966), op.cit., h. 12-13; Erol Suleyman Gunduz (1993), “Nizam al-Muluk and Islamic Political Theory : With Reference to Machiavelli; and Normativism and Pragmatism as Philosophico-Political Notions” (Disertasi Sarjana, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 1993), h. 115-123; Badar Muhammad Malik & Latifah Husayn al-Kunduri (2006), op.cit., h. 83.

[19] Memetik kata-kata Muhammad ‘Atiyyah al-Ibrashi: “Amat menyedihkan untuk kita nyatakan bahawa sesungguhnya para sejarawan, sasterawan, ilmuwan dan filosof Islam pada zaman pertengahan tidak memberi perhatian yang sewajarnya terhadap penulisan berkenaan pendidikan Islam, sedangkan dalam masa yang sama mereka memberi sumbangan kepada penulisan berkenaan tamadun Islam, kemenangan peperangan, hal-ehwal keagamaan, politik, ekonomi dan sosial di dunia Islam. Mungkin anda membaca kisah berkenaan Nizam al-Mulk atau Salah al-Din al-Ayubi namun anda hanya dapati sebahagian kecil sahaja diperuntukkan untuk membicarakan mengenai sumbangan mereka dalam penubuhan institusi madrasah dan perpustakaan serta pembaharuan mereka dalam bidang keilmuan dan pendidikan berbanding dengan sebahagian besar kisah tersebut diperuntukkan untuk membicarakan perihal sejarah kehidupan mereka, amalan-amalan politik dan urusan-urusan peperangan yang mereka laksanakan”. Lihat: Muhammad ‘Atiyyah al-Ibrashi (1976), op.cit., h. 4.

21 Ogos 2009

Mengharungi Kehidupan Bersama Cabaran Berganda

Ramadhan al-Mubarak menjelma, memberi gandaan cabaran buat semua. Mudah-mudahan diharungi dengan penuh keimanan dan pengharapan. Salam Ramadhan.


Sekiranya sudi, klik di sini: http://zaid-alkhair.blogspot.com/2007/11/al-quran-dan-ramadhan.html



Abu Ammar al-Eidrus

20 Ogos 2009

Posisi Strategik Institusi Pendidikan Islam Dalam Era Global



AlhamdulilLah… akhirnya dapat juga disediakan slaid cetusan motivasi untuk pembentangan di Indonesia. Kertas kerja lengkap akan cuba dihasilkan dalam masa terdekat. Moga Allah mempermudahkan segalanya.



Abu Ammar al-Eidrus

Dar al-Hadith al-Nuriyyah dan Institusi Madrasah dalam Islam




Dar al-Hadith al-Nuriyyah diasaskan oleh Nur al-Din Mahmud al-Zinki pada tahun 552 H di Dimasyq untuk pengajaran ilmuwan hadis terkenal, Ibn Asakir al-Dimasyqi. Kehebatan institusi ini terserlah dalam melahirkan ilmuwan hadis serta berperanan besar ke arah pemurnian pegangan masyarakat dan perjuangan perang salib serta pembebasan al-Quds. Bahkan Nur al-Din dinyatakan sebagai pengasas pertama kepada institusi-institusi pendidikan di bumi Dimasyq pada waktu tersebut.


Sebenarnya kemunculan Dar al-Hadith al-Nuriyyah dan institusi madrasah seumpama al-Madrasah al-Nuriyyah al-Sughra dan al-Kubra yang diasaskan oleh Nur al-Din al-Zinki, al-Madrasah al-Solahiyyah oleh Sultan Solah al-Din al-Ayyubi serta al-Madrasah al-Mustansiriyyah oleh Khalifah al-Mustansir bilLah adalah bukti perkembangan institusi madrasah yang timbul sebagai reaksi kepada penubuhan rangkaian Madrasah Nizamiyyah terutama Nizamiyyah di Baghdad (459 H) yang diasaskan oleh Nizam al-Mulk. Sebagai seorang Perdana Menteri kepada dua pemerintah Kesultanan Saljuq, Alb Arsalan dan Malik Shah, Nizam al-Mulk (m. 485 H) telah memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap aspek pendidikan umat Islam. Madrasah Nizamiyyah dinyatakan sebagai institusi madrasah bersistem pertama diasaskan dalam sejarah biarpun terdapat perbezaan pandangan dalam menentukan institusi madrasah pertama yang dikenali oleh umat Islam. Corak pentadbiran pendidikan yang hebat telah membentuk satu sistem yang terperinci melatari institusi tersebut. Atas tindakan ini, Nizam al-Mulk telah dianggap sebagai pelopor malah perintis sistem dalam institusi pendidikan yang akhirnya menjadi model rujukan kepada pertumbuhan institusi pendidikan umat Islam seterusnya.


Corak pentadbiran pendidikan yang telah dilaksanakan oleh Nizam al-Mulk membayangkan keteraturan beliau dalam menjelmakan Madrasah Nizamiyyah. Aspek-aspek seumpama polisi, perancangan dan kepemimpinan menjadi perhatian utama di samping aspek pengurusan sumber manusia dan material, kewangan, gaji, biasiswa, kurikulum, penerimaan dan graduasi serta pengijazahan. Kesan dari kekuatan pemikiran dan falsafah serta sifat kepemimpinan telah membentuk keperibadian yang prihatin terhadap aspek-aspek pendidikan, ditambah dengan kecintaan kepada ilmu terutama ilmu hadis memberi nilai terhadap kesungguhan beliau untuk berkhidmat kepada Islam dan umatnya.


Madrasah Nizamiyyah telah muncul sebagai institusi termasyhur pada kurun ke-5 hijrah. Bahkan menjadi kebanggaan kepada ilmuwan ketika itu sekiranya dilantik sebagai tenaga pengajar di Madrasah Nizamiyyah. Institusi yang membariskan tokoh seumpama Imam al-Haramayn al-Juwaini, Abu Ishaq al-Syirazi dan Imam al-Ghazali selaku tenaga pengajar dan menghasilkan ilmuwan seumpama al-Fairuz Abadi telah memberi kesan kepada perkembangan institusi pendidikan di dunia Islam malah menjangkau sehingga ke dunia Barat. Namun akibat kealpaan umat Islam terdahulu dalam memelihara warisan sejarah berharga ini, menjadi suatu yang amat dikesalkan apabila ia tidak lagi wujud secara konkrit untuk dibuat pemerhatian.



Coretan sekilas,

Abu Ammar al-Eidrus

05 Ogos 2009

Merentas Pemikiran Pendidikan Islam

Merentas Pemikiran Pendidikan Islam

Oleh: Asyraf Isyraqi bin Jamil



Membicarakan soal ilmu dan pendidikan sebenarnya membawa kepada perhatian terhadap aspek pembinaan individu dan pembentukan masyarakat. Kerana itu Islam amat menekankan kepada ilmu dan pendidikan. Melalui al-Quran dan Hadis, penekanan terhadap kedua-duanya jelas terserlah sebagai bukti perhatian Islam terhadap kepentingannya.[1] Atas kefahaman ini, para tokoh dan ilmuwan Islam beroleh inspirasi serta dorongan untuk meninggalkan legasi yang cemerlang dalam dunia keilmuan dan pendidikan.[2] Mereka memperlihatkan usaha yang jitu ke arah pembinaan individu muslim, seterusnya membawa kepada pembentukan masyarakat muslim dan akhirnya menjadi asas kepada penghasilan tamadun Islam.[3]



Tidak mungkin seorang sarjana pendidikan mahupun ahli sejarah mampu menafikan kepentingan pendidikan Islam sebagai momentum terhadap penghasilan tamadun Islam.[4] Justeru dalam memahami dan mengulang kembali peradaban tersebut adalah suatu keperluan untuk memahami pendidikan Islam secara komprehensif melalui penelitian warisan ilmiah pendidikan Islam yang telah dicetuskan oleh para tokoh dan ilmuwan Islam. Pemikiran tentang pendidikan serta penyelesaian terhadap isu dan permasalahan dimanifestasikan melalui warisan ilmiah tersebut. Kerana itu penelitian yang dilakukan bukan hanya sekadar tatapan hasil fikiran dan berbangga dengan pencapaian yang telah direalisasikan, tetapi ia amat penting sebagai pendekatan ke arah memahami pendidikan Islam konteks kini serta cara berinteraksi dengan isu dan permasalahan yang melanda bersama.[5] Secara tidak langsung kehebatan pendidikan lalu dipaparkan kepada realiti pendidikan kini dan bertindak memberi inspirasi, memandu arah, memperbaiki kelemahan, membina perkembangan serta memastikan kesinambungan yang berterusan.[6]



Keutamaan dalam memahami pendidikan Islam adalah menerusi kefahaman terhadap al-Quran dan Sunnah sebagai sumber asasnya.[7] Namun kefahaman tersebut adalah mustahil tanpa melalui penelitian warisan ilmiah yang ditinggalkan yang perlu dihadam, difahami, diikuti dan dihidupkan di dalam memandu arah kehidupan individu dan masyarakat.[8] Atas kepentingan dan keperluan ini, para sarjana pendidikan Islam telah memberikan perhatian yang serius terhadap kajian-kajian pemikiran pendidikan Islam.[9] Ia sekaligus memperlihatkan kepentingan untuk menyusur pendekatan kajian seumpama ini yang mampu membawa kepada kefahaman secara menyeluruh di dalam rangka membina individu dan membentuk masyarakat muslim yang baik yang merupakan tujuan pendidikan Islam itu sendiri.[10]



Usaha ini perlu digerakkan secara kukuh dan didasari dengan asas-asas yang wajar diberi perhatian. Dengan memahami bahawa pemikiran pendidikan Islam terbentuk atas asas realiti, kesederhanaan, menyeluruh, universal dan praktikal,[11] pengkajian haruslah bertujuan untuk mempraktikkan kebaikan dari apa yang dipelajari selain menjadikan ia titik tolak ke arah kefahaman yang lebih baik. Islam sebagai sistem kehidupan yang adil dan menyeluruh perlu dijadikan kerangka utama dalam usaha merealisasikan kesatuan umat dan penonjolan kehebatan tamadun. Di samping itu keiltizaman etika adalah satu kemestian sama ada ketika berinteraksi dengan nas dan syiar agama mahupun ketika mengkritik, menganalisis dan memetik fikiran agar tidak melampaui batasan dan bebas dari kepentingan peribadi. Dengan memahami prinsip pengkajian sebagai bersifat pengiktirafan (taqdir) kepada tokoh dan ilmuwan bukan bersifat pengagungan (taqdis), serta kepercayaan kepada kewujudan perbezaan pandangan bukan kepada penyelewengan pandangan, ia dapat memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan konteks sebenar dalam membantu proses penelitian yang akan dilaksanakan.[12]



Pemikiran pendidikan Islam bukan suatu yang bersifat statik bahkan telah melalui peringkat-peringkat perkembangan yang memberansangkan.[13] Ia adalah hasil dari peranan yang dimainkan oleh para tokoh dan ilmuwan Islam melalui penguasaan mereka terhadap kepelbagaian bidang keilmuan seumpama ilmu hadis, ilmu bahasa dan kesusasteraan, ilmu biografi, ilmu matematik, ilmu falak, ilmu kejuruteraan, ilmu perubatan dan lain-lain.[14] Begitu juga dengan penekanan mereka terhadap aspek-aspek yang berkaitan dengan pendidikan seumpama perbicaraan berkenaan dasar dan sumber pendidikan, falsafah dan tujuan, metodologi, kurikulum, pedagogi pengajaran dan pembelajaran, etika guru dan pelajar, psikologi, pentadbiran dan pengurusan, sosiologi dan sebagainya.[15] Hasilnya mereka telah melimpahkan sejumlah warisan ilmiah yang memerlukan kepada proses penelitian agar mampu disesuaikan dengan realiti praktikal semasa di samping dapat menyelesaikan beberapa isu dan permasalahan yang masih melatari dunia pendidikan Islam sejak dahulu sehingga kini.[16]



Sesungguhnya para tokoh dan ilmuwan Islam telah meninggalkan legasi yang cemerlang dalam dunia keilmuan dan pendidikan. Warisan ilmiah yang dicetuskan secara jelas memaparkan kehebatan dan kemampuan mereka berbicara dalam kedua-dua bidang tersebut. Ia bukan sekadar rujukan kepada dunia Islam bahkan mendapat perhatian dunia Barat yang telah menjadikannya sebagai asas dan panduan.[17] Sumbangan berharga ini merupakan satu paparan kepada sebuah perjuangan hasil dari kefahaman terhadap kepentingan ilmu dan pendidikan. Ia juga adalah bukti usaha ke arah merealisasikan tujuan-tujuan pendidikan Islam yang akhirnya menjadi momentum kepada kemunculan sebuah tamadun Islam yang gemilang suatu ketika dahulu.





[1] Sarjana-sarjana pendidikan Islam telah berbicara secara komprehensif berkenaan penekanan Islam terhadap ilmu dan pengajarannya terutama dari aspek kepentingan, kelebihan, etika, kesan dan sumbangan kepada umat Islam. Lihat sebagai contoh oleh Muhammad ‘Atiyyah al-Ibrashi (1976), al-Tarbiyah al-Islamiyyah wa Falasifatuha, c. 3, t.t.p.: Dar al-Fikr al-‘Arabi, h. 53-69; dan ‘Abbas Mahjub Mahmud (1987), Usul al-Fikr al-Tarbawi fi al-Islam, ‘Ajman: Mu’assasah ‘Ulum al-Qur’an dan Bayrut: Dar Ibn al-Kathir, h. 33-43. Nas-nas al-Quran dan Hadis sarat dengan bukti kepentingan ilmu dan pendidikan dalam Islam. Lihat sebagai contoh dalam Ishaq Ahmad Farhan (1983), al-Tarbiyah al-Islamiyyah bayna al-Asalah wa al-Mu‘asarah, c. 2, ‘Amman: Dar al-Furqan, h. 20-24.

[2] Berkenaan kepentingan pendidikan Islam terhadap pembinaan individu dan pembentukan masyarakat, lihat sebagai contoh dalam Ishaq Ahmad Farhan (1983), op.cit., h. 11-20. Untuk memahami lebih lanjut berkenaan matlamat dan tujuan pendidikan Islam, lihat: Miqdad Yalcin (1986), Ahdaf al-Tarbiyah al-Islamiyyah wa Ghayatuha, Riyad: Matabi‘ al-Qasim; Majid ‘Arsan al-Kilani (1998), Ahdaf al-Tarbiyah al-Islamiyyah, Bayrut: Mu’assasah al-Rayyan.

[3] Sebagai contoh, lihat cetusan pemikiran pendidikan Islam yang telah dijelmakan oleh Abu Bakr Muhammad ibn al-Husayn al-Ajurri al-Baghdadi (m. 360 H) melalui karya Akhlaq al-‘Ulama; Ahmad ibn Muhammad ibn Ya‘qub ibn Miskawaih (m. 421 H) melalui karya Tahdhib al-Akhlaq; Abu ‘Ali al-Husayn ibn ‘AbdulLah ibn Sina (m. 429 H) melalui karya al-Siyasah; ‘Ali ibn Muhammad ibn Habib al-Basri al-Mawardi (m. 450 H) melalui karya Adab al-Dunya wa al-Din; Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali (m. 505 H) melalui karya Ihya’ ‘Ulum al-Din dan Risalah Ayyuha al-Walad; Burhan al-Din al-Zarnuji melalui karya Ta‘lim al-Muta‘allim Turuq al-Ta‘allum; Abu ‘AbdulLah Badr al-Din Muhammad ibn Ibrahim ibn Sa‘dulLah ibn Jama‘ah al-Kanani al-Hamawi (m. 733 H) melalui karya Tadhkirah al-Sami‘ wa al-Mutakallim fi Adab al-‘Alim wa al-Muta‘allim; Muhammad ibn Abu Bakr ibn Ayyub al-Zura‘i atau dikenali dengan Ibn Qayyim al-Jauziyyah (m. 751 H) melalui karya Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud; ‘AbdulLah ibn ‘Abd al-Rahman ibn ‘Aqil al-Qurasyi al-Masri (m. 769 H) melalui karya Syarh Ibn ‘Aqil; Abu Zayd ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun (m. 808 H) melalui karya al-Muqaddimah; dan ramai lagi. Lihat ringkasan pemikiran pendidikan mereka dalam Ahmad Muhammad al-Kharrat (1418 H), Ma‘alim min al-Fikr al-Tarbawi ‘inda ‘Ulama’ al-Muslimin, tahun ke-16, bil. 184, Makkah al-Mukarramah: Rabitah al-‘Alam al-Islami; juga Badar Muhammad Malik & Latifah Husayn al-Kunduri (2006), Turathuna al-Tarbawi : Nantaliq Minhu wala Nanghaliq Fihi, c. 2, al-Kuwayt: Maktabah al-Falah dan Dar ’Iqra’.

[4] Muhammad ‘Atiyyah al-Ibrashi (1976), op.cit., h. 3.

[5] Lihat: Sa‘id Ismail ‘Ali (2005), Usul al-Tarbiyah al-Islamiyyah, al-Qahirah: Dar al-Salam, h. 258.

[6] Memetik kata-kata Mustafa Muhammad Mutawalli: “Tiada keraguan bahawa memahami pancaran sejarah tamadun Islam mampu memberi semangat kepada generasi umat terkini dalam mendepani cabaran peradaban semasa, kerana tidak akan muncul kejayaan sekarang buat umat yang melupakan sejarah mereka, dan tidak akan datang kejayaan masa hadapan buat umat yang mengabaikan keistimewaan mereka”. Lihat: Mustafa Muhammad Mutawalli (1992), Madkhal ila Tarikh al-Tarbiyah al-Islamiyyah, Riyadh: Dar al-Khirriji, h. 35.

[7] Perincian berkenaan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber pendidikan Islam boleh dilihat dalam ‘Abd al-Rahman al-Nihlawi (2004), Usul al-Tarbiyah al-Islamiyyah wa Asalibaha fi al-Bayt wa al-Madrasah wa al-Mujtama‘, c. 3, Dimasyq: Dar al-Fikr, h. 23-27.

[8] Ahmad ‘Arafat al-Qadi (1996), al-Fikr al-Tarbawi ‘inda al-Mutakallimin al-Muslimin wa Dauruhu fi Bina’ al-Fard wa al-Mujtama‘, t.t.p.: al-Hay’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li al-Kitab, h. 476.

[9] Sebagai contoh, lihat kajian-kajian seumpama ‘Ali Khalil Mustafa (1980), Qira’ah Tarbawiyyah fi Fikr Abi al-Hasan al-Basri al-Mawardi min khilal Kitab Adab al-Dunya wa al-Din, al-Kuwayt: Dar al-Kitab al-Hadith; Hasan ‘Abd al-‘Al (1980), al-Tarbiyah al-Islamiyyah fi al-Qarn al-Rabi‘ al-Hijri, al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi; Ahmad Rabi‘ ‘Abd al-Hamid KhalfulLah (1984), al-Fikr al-Tarbawi wa Tatbiqatuhu lada Jama‘ah al-Ikhwan al-Muslimin, al-Qahirah: Maktabah Wahbah; ‘Abd al-Badi‘ ‘Abd al-‘Aziz ‘Umar al-Khaula (1985), al-Fikr al-Tarbawi fi al-Andalus (403–478 H), al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi; Majid ‘Arsan al-Kilani (1986), al-Fikr al-Tarbawi ‘inda Ibn Taymiyyah, al-Madinah al-Munawwarah: Maktabah Dar al-Turath; Ahmad Muhammad Ibrahim Fulatah (1990), Adab al-Muta'allim fi al-Fikr al-Tarbawi al-Islami, Jiddah: Jami‘ah al-Malik ‘Abd al-‘Aziz; ‘Abd al-Ra’uf Yusuf (1991), Akhlaq al-‘Alim wa al-Muta‘allim ‘inda Abi Bakr al-Ajurri, Bayrut: Dar Jil; K. G. Saiyidain (1965), Iqbal's Educational Philosophy, c. 6, Lahore: Sh. Muhammad Ashraf; S. M. Ziauddin Alavi (1988), Muslim Educational Thought in The Middle Ages, New Delhi: Atlantic Publishers & Distributors; Ahmad Bazli Shafie (1998), The Educational Philosophy of al-Shaykh Muhammad 'Abduh, Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam UIAM; Abuddin Nata (2000), Pemikiran Para Tokoh Pendidikan Islam, Jakarta: RajaGrafindo Persada; dan Wan Mohd. Nor Wan Daud (2005), Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib al-Attas : Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

[10] Terdapat beberapa pendekatan yang digunakan di dalam pengkajian pemikiran atau sejarah pendidikan Islam iaitu pendekatan tokoh, pendekatan tematik dan pendekatan periode. Pendekatan tokoh berlaku melalui pemilihan tokoh atau ilmuwan Islam untuk diteliti kehidupan dan pemikirannya berkaitan pendidikan serta faktor-faktor yang mempengaruhi pemikiran tersebut. Pendekatan tematik pula berlaku melalui pemilihan tema-tema tertentu berkaitan pendidikan untuk diteliti secara mendalam. Manakala pendekatan periode berlaku melalui pemilihan tempoh masa tertentu untuk diteliti perkembangan pendidikan yang terjadi dalam tempoh tersebut. Walau bagaimanapun pendekatan-pendekatan ini boleh digabungkan antara satu sama lain untuk dijadikan pendekatan bersama dalam kajian yang dilaksanakan. Lihat: Mustafa Muhammad Mutawalli (1992), op.cit., h. 32-33 dan 36-37.

[11] Penjelasan lebih lanjut berkenaan ciri-ciri pemikiran pendidikan Islam, lihat juga Lutfi Barakat Ahmad (1982), Fi al-Fikr al-Tarbawi al-Islami, Riyad: Dar al-Marikh, h. 34-39.

[12] Lihat: Badar Muhammad Malik & Latifah Husayn al-Kunduri (2006), op.cit., h. 20-21. Berkenaan prinsip-prinsip dalam memahami warisan ilmiah pendidikan Islam dan asas-asas metodologi dalam berinteraksi dengan warisan ilmiah tersebut serta kayu ukur dalam penyaringan dan pemilihan kandungan-kandungannya, lihat: Sa‘id Ismail ‘Ali (2005), op.cit., h. 250-262.

[13] Lebih lanjut berkenaan sumber, ciri-ciri, aliran dan peringkat perkembangan pemikiran pendidikan Islam, lihat kupasan oleh Muhammad Hasan al-‘Umayirah (2000), al-Fikr al-Tarbawi al-Islami, ‘Amman: Dar al-Massira, h. 41-137. Majid ‘Arsan al-Kilani melalui kajian beliau di peringkat sarjana memperincikan asas-asas dan aspek-aspek perkembangan pemikiran pendidikan Islam. Lihat: Majid ‘Arsan al-Kilani (1978), Tatawwur Mafhum al-Nazariyyah al-Tarbawiyyah al-Islamiyyah, ‘Amman: Jam‘iyyah ‘Ummal al-Matabi‘ al-Ta‘awuniyyah.

[14] Lihat sebagai contoh dalam Badar Muhammad Malik & Latifah Husayn al-Kunduri (2006), op.cit., h. 47-73.

[15] Memetik kata-kata Muhammad ‘Atiyyah al-Ibrashi: “Tidak kami bermaksud untuk berbangga apabila kami katakan bahawa sesungguhnya prinsip-prinsip pendidikan kontemporari yang menjadi seruan pada pertengahan kurun ke-20 masihi dan masih tidak mampu dipraktikkan seluruhnya oleh negara-negara membangun sehingga ke hari ini sebenarnya telah diberi perhatian dan dipraktikkan dalam pendidikan Islam pada zaman-zaman keemasannya beratus-ratus tahun dahulu sebelum pendidikan kontemporari itu dicipta”. Lihat: Muhammad ‘Atiyyah al-Ibrashi (1976), op.cit., h. 3.

[16] Muhammad al-Mukhtar ‘Ud Bah (1993), al-Tarbiyah al-Islamiyyah bayna al-Qadim wa al-Hadith, c. 2, t.t.p.: al-Munazzamah al-Islamiyyah li al-Tarbiyah wa al-‘Ulum wa al-Thaqafah (ISESCO), h. 11.

[17] Lebih lanjut berkenaan sumbangan tamadun Islam kepada dunia Barat, lihat: Khalil A. Totah (1926), The Contribution of The Arabs to Education, New York: AMS Press; Sir Thomas Arnold & Alfred Guillaume eds. (1931), The Legacy of Islam, Oxford: The Clarendon Press; Mehdi Nakosteen (1964), History of Islamic Origins of Western Education A. D. 800-1350 : With An Introduction to Medieval Muslim Education, Colorado: University of Colorado Press; Tedd D. Beavers (1972), Arabic Contributions to Educational Thought, Norman (Okla.): Oklahoma University; Haider Bammate (1976), Muslim Contribution to Civilization, Maryland: American Trust; Joseph Schacht & C. E. Bosworth eds. (1979), The Legacy of Islam, Oxford: Oxford University Press; Abbas Mahmoud al-Akkad (1992), The Arab's Impact on European Civilization, Ismail Cashmiry & Muhammad al-Hadi (terjemahan), Shawki Sukkary (semakan), Cairo: Supreme Council for Islamic Affairs.

11 Julai 2009

Karya Nizam al-Mulk : Sorotan Literatur




Karya Nizam al-Mulk : Sorotan Literatur

Oleh: Asyraf Isyraqi bin Jamil



Satu perkara yang menjelaskan pesona Nizam al-Mulk dalam pelbagai dimensi sebagai seorang Perdana Menteri yang cemerlang adalah peribadi beliau yang dilatari pemikiran yang teguh serta kebijaksanaan yang menyerlah dalam menukil pengajaran dari kejatuhan empayar terdahulu dan memetik iktibar dari tragedi penyelewengan agama yang mengancam kestabilan umat pada ketika itu.[1] Pemikiran hebat ini telah beliau manifestasikan dalam penulisan yang dihasilkan sebagai panduan kepada para pemerintah khususnya dalam soal-soal pentadbiran dan pemerintahan negara.


Mengakhiri karier beliau dengan satu karya yang unik,[2] Siyasat Namah dilihat sebagai karya agung yang merupakan hasil dari fikiran yang matang serta penuh dengan pengalaman yang menjadi cermin keperibadian penulisnya. Karya ini ditulis sebagai respon kepada permintaan Sultan Malik Shah untuk disediakan satu panduan pentadbiran dan pemerintahan negara. Selain itu sebuah lagi karya yang dinisbahkan kepada Nizam al-Mulk adalah Wasaya. Namun perincian mengenai karya ini masih lagi kabur memandangkan ia tidak mendapat perhatian secara serius dari kajian-kajian yang dilakukan berkaitan Nizam al-Mulk dan penulisannya.[3]


Secara umum Siyasat Namah dan Wasaya adalah dua karya besar yang merupakan hasil penulisan Nizam al-Mulk. Namun Faiz al-Hasan Faizi (1946)[4] menimbulkan persoalan sejauh mana kebenaran fakta tersebut. Pemerhatian yang serius terhadap setiap bait-bait ayat kedua-duanya, ditambah dengan perbandingan fakta sejarah yang memperlihatkan wujudnya secara meluas kesalahan kronologi masa, penyimpangan maklumat dan pertentangan fakta telah menggoncang keyakinan bahawa kedua-duanya adalah hasil tulisan Nizam al-Mulk. Bagi ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1961), kedua-duanya dapat diyakini sebagai hasil penulisan secara langsung dari tangan dan pena Nizam al-Mulk. Ini kerana berdasarkan persamaan gaya bahasa dan siri kisah-kisah yang wujud antara kedua-duanya dengan surat-surat beliau yang diutuskan untuk pelbagai tujuan khususnya surat-surat yang ditujukan kepada anak-anak beliau seolah-olah memperlihatkan kaitan antara ketiga-tiga penulisan bahkan membayangkan sebahagian surat-surat tersebut telah dijadikan antara kandungan dalam Wasaya mahupun Siyasat Namah.[5] Walau bagaimanapun keyakinan terhadap Siyasat Namah secara khusus semakin kuat apabila A. K. S. Lambton (1984) membawa laporan tentang penemuan sebuah manuskrip tertua Siyasat Namah yang bertarikh 673 H/1274 M dan tersimpan dalam khazanah Nakhjivani di Perpustakaan Negara Tehran. Ia telah digunakan oleh Hubert Darke dalam penerbitan cetakan kedua beliau.[6] Pemerhatian yang dijalankan ke atas manuskrip tersebut telah menghilangkan keraguan yang timbul sekaligus memberi keyakinan bahawa Siyasat Namah merupakan hasil karya secara langsung dari Nizam al-Mulk.[7]


Beberapa sarjana memberi fokus kepada kandungan Siyasat Namah. Denise Spellberg (1988)[8] melihat kepada satu hadis yang dilampirkan oleh Nizam al-Mulk tatkala berbicara berkenaan peranan wanita dalam urusan negara. Hadis tersebut yang mempamerkan penolakan RasululLah SAW terhadap cadangan ‘Aisyah RA berkenaan pengganti baginda untuk mengimami solat telah dijadikan hujah oleh Nizam al-Mulk bagi menggambarkan bahaya campurtangan wanita terutama isteri kepada pemerintah dalam urusan negara. Namun sebenarnya persoalan ini bertitik-tolak dari masalah yang dihadapi oleh beliau bersama Turkan Khatun, isteri kepada Sultan Malik Shah yang dilihat telah mencampuri urusan pentadbiran dan pemerintahan serta mempengaruhi keputusan Sultan terhadap sesuatu isu ketika itu. Biarpun begitu dari perspektif yang berbeza ia memperlihatkan kebijaksanaan pemikiran Nizam al-Mulk dalam soal memberi kekuatan kepada teori yang dikemukan dengan membawa hujah praktikal yang dipetik secara terus dari nas-nas wahyu. M. S. Khan (2002)[9] pula merupakan antara sarjana yang membawa sorotan berkenaan karya ini dari aspek edisi, sumber rujukan, kandungan, siri anekdot, bahasa dan gaya penulisan serta kebaikan dan kelemahannya.


Siyasat Namah sebagai sebuah karya panduan pentadbiran dan pemerintahan negara menggariskan beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemerintah merangkumi persoalan agama sebagai dasar, keadilan, pendidikan, ekonomi, sosial, amalan-amalan pentadbiran dan pengurusan negara, sifat-sifat pemerintah dan sebagainya. Pelbagai anekdot dilampirkan bersama dengan teori-teori yang dikemukakan, dilakar dari pelbagai sumber seumpama sejarah Parsi lama atau Sasanian dan juga sejarah Islam. Perhatian Nizam al-Mulk tidak bertumpu kepada teori pemerintahan atau justifikasi kekuasaan semata-mata bahkan lebih mementingkan kepada amalan pemerintahan yang perlu dilaksanakan oleh Sultan.[10] Oleh sebab itu siri anekdot tersebut amat penting untuk memberi gambaran contoh praktikal yang dilakukan oleh umat terdahulu di dalam mentadbir empayar pemerintahan mereka. Melalui sejarah Islam beliau mendapati perlunya hubungan yang kuat antara agama dan pemerintahan. Beliau juga tidak melupakan amalan pemerintahan yang tercatat dalam lembaran sejarah yang lain.


A. K. S. Lambton (1984)[11] melihat tindakan menoleh kepada sejarah Parsi lama atau Sasanian bersama sejarah Islam sebagai cubaan untuk menggabung-jalin kedua-dua bentuk pemerintahan tersebut supaya mampu memberi satu panduan yang lengkap kepada pemerintah. Namun dari perspektif yang berlainan, Nizam al-Mulk dilihat gagal untuk menyatupadukan di antara dua tradisi pemerintahan ini. Seolah-olah beliau telah menghidupkan kembali dualiti di antara pemerintahan dan institusi keagamaan dengan merujuk kepada tradisi pemerintahan Parsi yang berlandaskan kepada bentuk paksaan dan konsep matlamat menghalalkan cara, sedangkan tradisi Islam menekankan kepada hubungan yang kukuh antara agama dan pemerintahan. Justeru itu seakan-akan berlaku kontradiksi di dalam panduan yang dikemukakan menggambarkan kewujudan dilema pemerintahan dalam era Parsi Islam.


Bagi Neguin Yavari (2008)[12] siri-siri anekdot tersebut membawa kepada perspektif yang berbeza jika dibaca dari sudut yang berlainan. Walaupun ia dilihat seakan-akan pengulangan kepada siri-siri anekdot yang terkandung dalam karya-karya seumpamanya pada era pertengahan Islam, namun sebenarnya ia membayangkan kepada satu usaha hebat yang cuba dilakukan oleh Nizam al-Mulk dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan pemerintahan negara. Sebagai contoh kisah-kisah berkenaan kejatuhan empayar telah dijadikan pancaran kepada pemerintah dalam membina paradigma ke arah keadilan pemerintahan. Walau bagaimanapun secara jelas siri-siri anekdot tersebut adalah amaran kepada pemerintah berkenaan impak pengamalan agama yang lemah serta keperluan untuk memberi fokus terhadap pemerintahan yang adil di samping sentiasa berhati-hati dengan sebarang kuasa yang mendatang sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan negara.[13] Karya ini adalah panduan yang tidak memberi perspektif yang terhad dalam kefahaman bahkan ia boleh dinilai dari sudut yang berbeza bergantung kepada sisi pandangan pembacanya walau merentas masa-masa yang mendatang.


Dari aspek metode penulisan, Haroon Khan Sherwani (1934)[14] melihat bahawa Siyasat Namah sebenarnya merupakan gabungan metode al-Mawardi[15] menerusi karya al-Ahkam al-Sultaniyyah dan metode Kaikawus[16] menerusi karya Qabus Namah.[17] Sebagai contoh al-Mawardi cenderung merujuk kisah-kisah dari sejarah awal Islam, sementara kisah-kisah sejarah Turki, Parsi dan bangsa lain adalah kecenderungan rujukan Kaikawus. Secara jelas kedua-dua metode ini telah diamalkan oleh Nizam al-Mulk di dalam penulisan Siyasat Namah. M. S. Khan (2002) turut menyebut bahawa wujud persamaan antara Siyasat Namah dan Qabus Namah dari segi kandungan dan isu yang dikupas.[18] Namun sebelum itu bagi S. Rizwan Ali Rizvi (1978), biarpun Qabus Namah dihasilkan lebih awal dari Siyasat Namah, ia tidak dapat menandingi keunikan Siyasat Namah itu sendiri. Analisis secara kritikal melihat Qabus Namah tidak begitu sistematik dan komprehensif, sementara Siyasat Namah memiliki kedua-dua kualiti tersebut.[19]


Siyasat Namah dilihat lebih komprehensif dalam penyampaian maklumat merangkumi setiap aspek berkaitan urusan awam, pentadbiran peperangan, hal-ehwal diplomasi dan urusan kenegaraan. Biarpun terdapat beberapa kelemahan pada kesahan fakta sejarah dalam karya ini, ia tidak menafikan kehebatan dan keunikan Siyasat Namah sebagai panduan dalam aspek-aspek yang dinyatakan sebagai hasil tulisan seorang tokoh dan ilmuwan yang memiliki pengalaman matang dalam pentadbiran dan pemerintahan negara sehingga akhirnya Siyasat Namah menjadi model rujukan kepada penulisan-penulisan dalam genre yang sama selepasnya.[20]


Selain dari tumpuan terhadap karya Siyasat Namah dan Wasaya, ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1961)[21] telah melakukan tinjauan dan terjemahan terhadap manuskrip-manuskrip yang mewakili surat-surat yang diutuskan oleh Nizam al-Mulk sepanjang pentadbiran beliau untuk tujuan yang pelbagai. Tinjauan yang dilakukan bukan sekadar untuk melihat keindahan bahasa yang dilakar atau kerana ia adalah hasil tulisan seorang Perdana Menteri semata-mata, tetapi kerana kepentingannya sebagai dokumen sejarah yang memperlihatkan secara terperinci dan jelas teori-teori dalam pentadbiran dan pemerintahan negara, pegangan-pegangan dalam aspek pentadbiran dan politik, serta fikiran-fikiran pendidikan dan kebudayaan. Walau bagaimanapun terdapat sebahagian surat-surat yang lain ditulis oleh Nizam al-Mulk tetapi tidak ditemui dalam bentuk manuskrip, namun ada di antaranya telah direkodkan oleh penulis-penulis sejarah Islam seumpama Ibn al-Jauzi, Sibt Ibn al-Jauzi dan Ibn al-Athir dalam karya-karya mereka.[22]




[1] Lihat: Neguin Yavari (2008), “Mirrors for Princes or a Hall of Mirrors? Nizam al-Mulk’s Siyar al-Muluk Reconsidered”, al-Masaq, jil. 20, bil. 1, Mac 2008, h. 66-67.

[2] Erol Suleyman Gunduz (1993), “Nizam al-Muluk and Islamic Political Theory : With Reference to Machiavelli; and Normativism and Pragmatism as Philosophico-Political Notions” (Tesis Sarjana, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 1993), h. 48.

[3] Nizam al-Mulk disebut sebagai pengarang kepada Siyasat Nama (Panduan Kepada Pemerintah), Wasaya dan Safar Nama. Dua karya yang pertama wujud dan kekal dalam bentuk penerbitan, namun karya ketiga Safar Nama yang merupakan kisah perjalanan Nizam al-Mulk dari Khurasan, Iran ke Kabul, Afghanistan sebagai laluan untuk ke Transoxiana, telah hilang secara keseluruhannya. Lihat: Faiz al-Hasan Faizi (1946), “A Peep Into The Wasaya and Siyasat Nama of Nizam al-Mulk”, Islamic Culture, jil. XX, bil. 4, 1946, h. 392.

[4] Lihat: Ibid..

[5] Lihat: ‘Abd al-Hadi Rida Mahbubah (1961), “Min Rasa’il Nizam al-Mulk al-Wazir al-Saljuqi”, Majallah Ma‘had al-Makhtutat al-‘Arabiyyah, jil. 7, bil. 2, November 1961, h. 27.

[6] Moshe Perlmann telah melakukan tinjauan ke atas cetakan pertama edisi terjemahan Bahasa Inggeris Siyasat Namah oleh Hubert Darke. Lihat: Moshe Perlmann (1964), “Reviewed Work(s): The Book of Government or Rules for Kings; The Siyāsat Nāma or Siyar al-Mulūk of Nizam al-Mulk by Hubert Darke”, Journal of the American Oriental Society, jil. 84, bil. 4, Okt. - Dis. 1964, h. 422.

[7] Lihat: A. K. S. Lambton (1984), “The Dilemma of Government in Islamic Persia : The "Siyāsat Nāma" of Nizam al-Mulk, Iran, jil. 22, 1984, h. 55.

[8] Lihat: Denise Spellberg (1988), “Nizam al-Mulk’s Manipulation of Tradition ‘Aisha and The Role of Women in The Islamic Government, The Muslim World, jil. LXXVIII, bil. 2, 1988.

[9] Lihat: M. S. Khan (2002), “The Salj