10 April 2011

Dunia Leksikografi Bahasa Arab


DUNIA LEKSIKOGRAFI BAHASA ARAB

(Nota ini berasal dari artikel sebenar bertajuk ‘Menjengah ke Dunia Leksikografi Bahasa Arab’ tulisan Sdr. Khairil Husaini bin Jamil dalam Suara Madinah, Bil. 42, Tahun 44, Sesi 2004/2005 M terbitan Perpustakaan Pelajar Malaysia Madinah (PPM Madinah), Madinah Munawwarah, Arab Saudi)

Leksikografi ialah suatu bidang penyusunan kata dan penghasilan kamus. Isu leksikografi kurang diperhatikan dan kurang popular meskipun ia mempunyai kepentingan tersendiri. Secara umumnya, penyusunan kamus Bahasa Arab telah melalui beberapa peringkat perubahan yang dengan sendirinya mengkategorikan kamus-kamus tersebut kepada beberapa aliran. Kamus atau dalam Bahasa Arab disebut al-Mu'jam bermaksud sebuah kitab yang mengandungi lafaz-lafaz bahasa yang disusun mengikut kaedah tertentu, dihuraikan pengertiannya dengan jelas dan digandingkan dengan sebarang maklumat yang bersesuaian untuk pengguna mencapai maksudnya. Antara bentuk penyusunan kamus yang dihasilkan oleh para ilmuwan adalah seperti berikut:

1. SUSUNAN MENURUT PENENTUAN MAKHRAJ (FONETIK)

Kitab al-‘Ain karangan al-Khalil ibn Ahmad al-Farahidi

Pengarangnya ialah al-Khalil ibn Ahmad, Abu ‘Abd ar-Rahman, al-Yahmudi al-Azdi, al-Farahidi (meninggal 175 H). Al-Khalil ialah pemimpin utama dalam penyusunan kamus mengikut aliran ini. Beliau adalah guru kepada al-Asma‘i, Sibawayh dan al-Nadr ibn Shumayl. Di antara kejayaan al-Khalil ialah penciptaan ilmu ‘Arud yang menentukan rima syair Arab.

Kitab al-‘Ain adalah kitab pertama dalam aliran penyusunan ini yang al-Khalil sendiri dianggap sebagai pelopor kaedah penyusunannya. Beliau menyusun kamus ini mengikut makhraj huruf yang beliau tentukan sendiri. Ia bermula dengan huruf ‘ain kerana makhrajnya paling jauh dari mulut. Susunannya ialah: ع ح ه غ خ ق ك ج ش ض ص س ز ط ت د ظ ث ذ ر ل ن ب م و ي ا. Untuk mencari kedudukan sesuatu kalimah, pengguna perlu mengembalikan kalimah tersebut kepada binaan asal (wazan fa’, ‘ain dan lam) dan mencari huruf yang paling jauh makhrajnya dalam binaan tersebut. Sebagai contoh kalimah رجع, رعج, عجر, عرج, جرع semuanya dicari pada huruf ‘ain kerana binaan semua kalimah ini mengandungi huruf ‘ain dan huruf ‘ain berada paling awal dalam susunan makhraj al-Khalil. Contoh lain ialah kalimah ركب. Kalimah ini mengandungi huruf kaf yang merupakan huruf yang paling awal dalam susunan makhraj al-Khalil berbanding huruf ra’ dan huruf ba’. Oleh itu, kalimah ini dicari pada huruf kaf.

Kitab Tahdhib al-Lughah karangan al-Azhari

Pengarangnya ialah Muhammad ibn Ahmad ibn Azhar, Abu Mansur, al-Harawi al-Lughawi yang dikenali dengan al-Azhari (meninggal 270 H). Beliau turut mengikuti jejak al-Khalil dalam penyusunan kamusnya dengan beberapa pengemasan selaras dengan penamaan kitabnya sebagai kitab tahdhib (pengemasan).

2. SUSUNAN MENURUT PENENTUAN ABJAD

Kitab al-Jamharah karangan Ibn Duraid

Pengarangnya ialah Muhammad ibn al-Hasan ibn Duraid, Abu Bakr (meninggal 325 H). Ibn Duraid menamakan kitabnya dengan nama al-Jamharah kerana beliau telah memilih di dalamnya jumhur percakapan Arab.

Kaedah penyusunannya adalah sama dengan kaedah penyusunan al-Khalil tetapi yang membezakan aliran ini dengan aliran sebelumnya ialah cara susunan huruf kamus tersebut. Jika al-Khalil menyusun mengikut makhraj huruf, Ibn Duraid pula menyusunnya mengikut susunan huruf yang normal. Namun begitu, ia berbeza dengan kaedah penyusunan dalam aliran abjad normal kerana kita perlu memerhatikan huruf-huruf dalam binaan kalimah yang dicari maknanya dan mencari huruf yang paling awal dalam senarai di antara huruf-huruf kalimah tersebut. Kalimah tersebut dicari pada huruf yang paling awal dalam senarai. Sebagai contoh kalimahركب, كبر, ربك . Kalimah-kalimah ini dicari pada huruf ba’. Hal ini kerana dalam binaan ketiga-tiga kalimah tersebut, terdapat huruf ba’ yang merupakan huruf yang paling awal mengikut susunan alif hingga ya’ yang biasa.

3. SUSUNAN MENURUT AKHIRAN KALIMAH

Taj al-Lughah wa al-Sihah al-‘Arabiyyah karangan al-Jawhari

Pengarangnya ialah Ismail ibn Hammad, Abu Nasr, al-Jawhari al-Farabi (meninggal 393 H). Para pengkaji dan penyelidik bersepakat bahawa al-Jawhari adalah salah satu daripada keajaiban zaman dari sudut kepintaran dan kebijaksanaannya. Beliau dianggap sebagai pemudah kepada dunia perkamusan Bahasa Arab. Dipercayai bahawa kebijaksanaan beliau merupakan faktor yang menyebabkan beliau mencipta kaedah penyusunan kamus mengikut akhiran perkataan. Dalam Bahasa Arab ia dikenali sebagai Qawafi.

Kitab Sihah karangan al-Jawhari disusun berdasarkan akhiran perkataan. Pembaca yang ingin mencari sesuatu kalimah perlu melihat huruf terakhir pada kalimah (setelah dibuang huruf-huruf tambahan) dan kemudian melihat huruf terawal untuk mengetahui bahagian yang menempatkannya. Huruf terakhir pada binaan kalimah dicari pada bab dan huruf terawal pada binaan kalimah dicari pada bahagian. Contohnya dalam Bab Hamzah, Bahagian Wau, kalimah-kalimah yang akan kita temui ialah وبأ, وثأ, وجأ, ودأ, وذأ, ورأ, وضأ, وطأ, وكأ, ومأ dan seterusnya. Al-Jawhari juga bukan sekadar mengambil kira huruf terakhir dan huruf terawal, malah beliau turut menyusun pecahan selepasnya berdasarkan huruf kedua atau ketiga dalam binaan kalimah.

Lisan al-‘Arab karangan Ibn Manzur

Kitab ini adalah kitab yang paling masyhur di kalangan penuntut ilmu. Boleh dikatakan sebahagian besar penuntut ilmu akan membeli kitab ini. Pengarangnya ialah Muhammad ibn Mukarram ibn Ali yang dikenali dengan Ibn Manzur (meninggal 711 H).

Susunan asal Ibn Mandzur adalah berdasarkan akhiran kalimah seperti yang dinyatakan oleh pengkaji-pengkaji leksikografi Arab. Namun, untuk memudahkan pencarian dan membumikan manfaatnya, pencetak telah menukarkan bentuk susunan yang asal kepada susunan abjad yang normal.

Al-Qamus al-Muhit karangan al-Fairuz Abadi

Pengarangnya ialah Muhammad ibn Ya‘qub ibn Ibrahim, al-Fairuz Abadi (meninggal 817 H). Nama kitab ini yang sebenarnya ialah al-Qamus al-Muhit wa al-Qabus al-Wasit al-Jami‘ lima Zahaba min Kalam al-‘Arab Syamatit. Kitab ini begitu tinggi nilainya sehingga ia terkenal di timur dan barat. Bahkan, al-Qamus al-Muhit telah melampaui dunia ekabahasa dan menerobos dunia dwibahasa apabila ia diterjemahkan pula ke dalam Bahasa Parsi dan Bahasa Turki.

Taj al-‘Arus karangan Muhammad Murtada al-Husaini al-Zabidi

Sekali pandang, tajuk kitab ini pasti menarik perhatian individu yang melihatnya. Namun, kitab ini bukan kitab panduan pengantin raja sehari bercinta asmara. Kitab ini adalah satu khazanah ilmu yang cukup besar dan salah satu bukti kepada keunggulan dan keluasan Bahasa Arab. Pengarang yang bertanggungjawab menghasilkannya ialah al-Sayyid Muhammad Murtada al-Husaini (meninggal 1205 H).

4. SUSUNAN ABJAD NORMAL

Susunan ini adalah kaedah yang paling masyhur dan mudah kerana tidak memerlukan pembaca menghafaz kedudukan makhraj atau mencari huruf yang terawal dalam binaan kalimah. Untuk berinteraksi dengan kaedah susunan ini, pembaca hanya perlu mengembalikan sesuatu kalimah kepada binaan asalnya dan memerhatikan huruf pertama dalam kalimah tersebu. Kalimah افتعل misalnya dikembalikan kepada فعل dan dicari kedudukannya pada huruf fa’.

Asas al-Balaghah karangan al-Zamakhshari

Abu al-Qasim, Mahmud ibn Umar al-Zamakhshari (meninggal 538 H) cuba untuk membezakan karyanya dengan karya-karya ulama yang mendahuluinya. Beliau mendapati bahawa kamus-kamus sebelumnya sangat menitikberatkan makna kalimah, penerangannya, cara penyebutannya, bukti-bukti penggunaannya dan lain-lain aspek yang dirasakan perlu oleh ahli bahasa. Al-Zamakhshari ingin menonjolkan satu lagi medan yang berkait rapat dengan kalimah iaitu makna sesuatu kalimah dari sudut majaz. Beliau kemudiannya telah menyusun kamusnya berdasarkan tujuan tersebut.

Namun fokus kita di sini ialah susunan kamus beliau adalah berdasarkan susunan abjad yang normal. Sesuatu kalimah yang ingin dicari pengertiannya dikembalikan kepada binaan yang asal dan diperhatikan huruf pertama dalam binaan tersebut. Kemudian, kalimah tersebut dicari pada bab huruf tersebut yang disusun mengikut abjad yang normal.

Mukhtar al-Sihah karangan al-Razi

Pengarangnya ialah Muhammad ibn Abu Bakr al-Razi. Biografi tokoh ini pada mulanya tidak diketahui sehinggalah ia ditemui oleh al-Ustaz Hasan al-Sandubi dan diterbitkan dalam majalah al-Risalah tahun 1940 M. Pengarangnya al-Razi telah meringkaskan kitab al-Sihah karangan al-Jawhari dan menyusunnya mengikut alfabet yang normal.

Al-Misbah al-Munir karangan al-Fayumi

Pengarangnya ialah Ahmad ibn Muhammad ‘Ali al-Fayumi (meninggal 770 H). Beliau pada mulanya menghimpunkan kalimah-kalimah musykil yang terdapat dalam kitab Sharah al-Wajiz karangan Imam al-Rafi‘i. Setelah terhasil sebuah kitab yang cukup luas dan padat kandungannya, beliau berhasrat meringkaskannya supaya mudah digunakan dan diambil manfaatnya. Oleh itu, lahirlah kitab al-Misbah al-Munir yang mengikut kaedah penyusunan alfabet yang normal.

Al-Mu‘jam al-Wasit keluaran Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah

Setelah melalui zaman penjajahan, umat Islam dan Arab khususnya mula menderitai kelemahan di dalam penguasaan Bahasa Arab. Penjajahan mencorak bangsa mengikut acuan mereka dan mengubah tradisi kehidupan supaya umat Islam menjauhi Bahasa Arab yang memiliki ikatan yang intim dengan ajaran Islam. Sehinggalah berlakunya desakan yang kuat untuk menubuhkan Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah pada tahun 1934 M. Antara hadiah kelahiran organisasi ini ialah terbitnya al-Mu‘jam al-Wasit yang dirasakan mampu memimpin penutur Bahasa Arab dalam arus kemodenan dan perkembangan semasa. Fokusnya, al-Mu‘jam al-Wasit telah disusun mengikut kaedah penyusunan alfabet yang normal untuk memudahkan masyarakat awam dan penuntut ilmu merujuk kepadanya.

5. SUSUNAN SEMASA

Al-Ra’id karang Jabran Mas'ud

Kamus yang disusun oleh U. Jabran Mas‘ud ini diterbitkan di Beirut pada tahun 1964 M. Perkataan-perkataan di dalamnya disusun megikut susunan abjad yang normal. Pembaca boleh mencari kalimah di dalamnya tanpa menentukan huruf-huruf binaan asal atau membezakan di antara kata terbitan dengan bentuk asalnya. Pembaca hanya memerhatikan awal kalimah dan terus mencarinya berdasarkan susunan abjad yang biasa.



Abu Ammar al-Eidrus

Tiada ulasan: