21 Januari 2012

Abstrak Seminar 6


MEMBENTUK DEFINISI KONSEPTUAL PENTADBIRAN PENDIDIKAN ISLAM:
SUATU ANALISIS TERHADAP TADBIR DAN TA’DIB

Asyraf Isyraqi bin Jamil
Felo SLAI
Program Pendidikan Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Emel: isyraqi@um.edu.my

Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah
Profesor Madya
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Kuala Lumpur

Dr. Ghazali bin Darusalam
Pensyarah Kanan
Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
Kuala Lumpur


Abstrak

Kertas ini mengemukakan suatu rumusan tentang definisi konseptual Pentadbiran Pendidikan Islam yang dilakukan menerusi analisis terhadap dua kata kunci yang penting dalam Islam iaitu tadbir dan ta’dib. Rumusan yang dikemukakan amat penting sebagai gambaran tentang konsep Pentadbiran Pendidikan Islam yang berasaskan kepada hubungan antara dua kata kunci tersebut. Analisis yang dilakukan terhadap kedua-duanya adalah berdasarkan kepada kaedah pendalilan semantik dengan mengemukakan makna kedua-duanya sebagai faham Pentadbiran dalam Islam dan faham Pendidikan dalam Islam. Apabila kedua-duanya dihubungkan, maka istilah tadbir al-ta’dib akan terbentuk, sekaligus mengemukakan faham Pentadbiran Pendidikan dalam Islam, dengan itu menjadi asas yang membentuk definisi konseptual Pentadbiran Pendidikan Islam.

Kata kunci: Pentadbiran Pendidikan, Pentadbiran Pendidikan Islam, Tadbir, Ta’dib, Tadbir al-Ta’dib.


---------------------------------------------------------


TOWARDS THE CONCEPTUAL DEFINITION OF ISLAMIC EDUCATIONAL ADMINISTRATION:
AN ANALYSIS INTO TADBIR AND TA’DIB

Asyraf Isyraqi bin Jamil
SLAI Fellow
Islamic Education Programme
Academy of Islamic Studies
University of Malaya
Kuala Lumpur
Email: isyraqi@um.edu.my

Assoc. Prof. Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah
Associate Professor
Department of ‘Aqidah and Islamic Thought
Academy of Islamic Studies
University of Malaya
Kuala Lumpur

Dr. Ghazali bin Darusalam
Senior Lecturer
Department of Educational Foundation and Humanities
Faculty of Education
University of Malaya
Kuala Lumpur


Abstract

This paper deliberately presents a result of a semantic study on two well-known Arabic key-terms regulated widely as important concepts in Islam; tadbir and ta’dib, which subsequently contributes to the construction of the conceptual definition of Islamic Educational Administration. The conclusion arrived in this study is very crucial in order to understand the important of both concepts in the field of Educational Administration. The study investigates the relationship between both key-terms as tadbir is considered as the origin understanding of Islamic Administration, while ta’dib is recognized as the prefered understanding of Islamic Education. The paper conclusively proposes tadbir al-ta’dib as a new concept that should be actualized in the implementation of Islamic Educational Administration.

Keywords: Educational Administration, Islamic Educational Administration, Tadbir, Ta’dib, Tadbir al-Ta’dib.


* Kertas ini akan dibentangkan dalam International Seminar on Research in Islamic Studies II (ISRISII) yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Februari 2012 bertempat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur anjuran oleh Bahagian Ijazah Tinggi,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

15 Januari 2012

Rumusan Tentang Adab dan Ta’dib


Rumusan Tentang Adab dan Ta’dib


Oleh: Asyraf Isyraqi bin Jamil


Berikut rumusan saya tentang adab (adab) dan ta’dib (peng-adab-an) berdasarkan kepada tiga leksikon Arab iaitu Mu‘jam Maqayis al-Lughah karangan Ibn Faris (m. 395 H), Lisan al-‘Arab karangan Ibn Manzur (m. 711 H) dan al-Qamus al-Muhit karangan al-Fayruzabadi (m. 817 H).

------------------------------------------------------------

Adab (Adab) merupakan kata nama yang mengandungi makna asal ‘undangan dan takjuban’. Ia boleh diperjelaskan apabila adab tergambar pada perkara-perkara yang mengundang sesuatu kepada sesuatu dan menakjubkan sesuatu terhadap sesuatu. Misalnya, apabila adab digunakan kepada laut (adab al-bahr), ia bermaksud laut yang memiliki air yang banyak, atau dalam erti kata yang lain laut yang berombak, kerana kuantiti air dan gelombang ombak itu mengundang manusia untuk melihatnya dan menakjubkan manusia terhadapnya. Begitu juga apabila adab digunakan kepada negara (adab al-bilad), ia bermaksud negara yang adil, kerana keadilan itu mengundang manusia untuk mendudukinya dan menakjubkan manusia terhadapnya.

Dalam hal ini, apabila adab digunakan kepada manusia yang diungkapkan dengan adab ajar (adab al-dars) dan adab jiwa (adab al-nafs), ia bermaksud manusia yang memiliki ilmu dan perangai serta kelakuan yang baik. Ini kerana ilmu mengundang dan menakjubkan manusia kepada martabat dan darjatnya yang tinggi, manakala perangai dan kelakuan yang baik mengundang dan menakjubkan manusia kepada perkara-perkara yang terpuji sekaligus melarang dari perkara-perkara yang dikeji.

Ta’dib (Peng-adab-an) merupakan kata terbitan dari kata perbuatan addaba (meng-adab-kan). Ta’dib atau addaba datang dalam bentuk timbangan taf‘il atau fa‘‘ala, yang menurut ilmu Bahasa Arab digunakan untuk menggambarkan usaha menghubungkan objek dari sesuatu perbuatan kepada makna asal perbuatan tersebut. Ta’dib atau addaba berkait dengan adab yang sudah diperjelaskan di atas. Justeru itu, apa yang dimaksudkan dengan ta’dib atau addaba ialah ‘usaha menghubungkan sesuatu kepada adabnya’.

Ta’dib atau addaba boleh digunakan kepada manusia dan binatang. Apabila merujuk penggunaannya kepada manusia secara khusus, ia bermaksud pengajaran ilmu (ta‘lim atau ‘allama), dan apabila merujuk penggunaannya kepada binatang secara khusus, ia bermaksud perlatihan perbuatan (untuk patuh dan tunduk). Dengan yang demikian, ta’dib atau addaba sudah sedia mengandungi makna usaha yang bersifat ‘aqli (akal) dan jawarihi (anggota tubuh) padanya. Justeru itu, ta’dib atau addaba dengan maknanya yang menyeluruh jika merujuk kepada usaha yang berkaitan dengan manusia merupakan ‘suatu usaha menghubungkan manusia kepada adabnya untuk melahirkan manusia yang beradab, iaitu manusia yang berilmu dan berakhlak yang tidak akan dapat dicapai melainkan dengan tindakan pengajaran ilmu (ta‘lim) dan perlatihan perbuatan (tarbiyah)’.

------------------------------------------------------------

* Penggunaan ta‘lim (pengajaran) dan tarbiyah (perlatihan) dalam rumusan di atas adalah berdasarkan kepada makna kedua-duanya secara menyeluruh yang ada dikemukakan oleh ketiga-tiga leksikon yang sama.